Tuesday, February 19, 2013

Apakah Program Bridging UTM?

UTM berperanan besar dalam melahirkan modal insan yang cekap, terlatih dan berpengalaman untuk memastikan semua urusannya berjalan lancar dan berkualiti. Begitu juga dengan staf teknikal yang bertugas menjaga makmal-makmal sains dan komputer yang menjadi aset universiti di setiap fakulti.

Program Bridging Pembantu Makmal ke Penolong Pegawai Sains ini merupakan salah satu usaha ke arah melahirkan staf teknikal makmal yang lebih terlatih. Terdapat silibus khusus serta peperiksaan khas untuk membolehkan Pembantu Makmal mendapat kenaikan pangkat secara lantikan (KPSL). Seseorang Pembantu Makmal yang ingin dinaikkan pangkat ke Pen.Pegawai Sains perlulah telah lulus Kursus Peralihan ini.

Subjek-subjek yang ditawarkan dalam kursus ini dan wajib diikuti oleh semua Pembantu Makmal ialah:

Kimia
Bagi sesi 2013 ini, subjek kimia diajar oleh Prof. Dr. Abd. Rahim bin Yacob. Antara perkara yang ditekankan ialah mengenai HIRARC, MSDS, 5S di makmal dan program-program peningkatan kualiti makmal yang lain.

Biologi
Biologi sesi 2013 diberi kuliah oleh Dr Fazilah Manan manakala sesi amali di bawah pengawasan Dr Alina Wagiran. Antara isi kandungan subjek Biologi termasuklah Mikrobiologi Asas yang merangkum teknik kultur dan kumpulan-kumpulan bakteria, alga dan archea.

Fizik
Subjek Fizik termasuklah pengiraan pecutan, halaju, tenaga kinetik dan keupayaan sesuatu objek. Subjek ini diajar oleh PM Dr Karim Deraman.

Geologi
Subjek ini diajar oleh PM Dr Radzuan bin Junin. Antara yang menjadi pilihan topik termasuklah Sedimentologi dan Stratigrafi. Untuk pengetahuan, subjek Geologi memerlukan peserta untuk melakukan Kerja Lapangan (Field Trip) iaitu lawatan yang dilakukan untuk melihat sendiri jenis-jenis batuan di kawasan terpilih.

Teknologi Maklumat
Teknologi Maklumat merupakan satu keperluan asas bagi semua staf kerajaan masa kini memandangkan ia digunakan secara meluas. Subjek ini diajar oleh
Dr Shahrizal Sunar dari Fakulti Sains Komputer. Antara yang ditekankan ialah mengenai teknologi Cloud Computing (Dropbox), cara membuat blog dan Etika Profesional di Alam Maya.

Setiap subjek yang diajar akan dinilai berdasarkan dari markah kuiz, ujian, amali makmal dan tugasan yang diberikan. Justeru peserta yang mengikuti kursus ini hendaklah sentiasa bersedia dan peka untuk mendapat keputusan cemerlang di akhir setiap sesi.


No comments:

Post a Comment